Bukhari dalam kitab sahihnya meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda :
"Orang yang memberi nafkah kepada dua orang isterinya kerana Allah, maka dia akan masuk syurga, Wahai hamba Allah, ini adalah kebaikan. Orang yang suka mendirikan solat, maka dia akan dipanggil dari pintu solat. Orang yang suka bersedakah, maka dia akan dipanggil dari pintu sedekah. Orang yang suka berpuasa, maka dia akan dipanggil dari pintu ar-Rayyan, dan orang yang suka berjihad, maka dia akan dipanggil dari pintu jihad." (HR Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis ini jelas menunjukkan sifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang Allah swt. Allah tidak pernah mewajibkan kepada hamba-hambaNya sesuatu yang tidak mampu dilakukan hambaNya. Allah Maha mengetahui kemampuan setiap hambanya. Dalam hadis ini, Allah memberi kepada pilihan kepada kita untuk melakukan mana-mana kebaikan yang mampu kita lakukan.
Ada sebahagian manusia yang merasa senang, puas dan merasa dekat dengan Allah dalam solat. Maka mereka lebih senang untuk melakukan solat malam. Ada sebahagian manusia pula yang lebih suka berpuasa. Dan golongan ini berupaya untuk berpuasa ditengah matahari terik; musim kemarau, maka pintu syurganya ialah AR-Rayyan; sebahagian pula merasa senang dengan berzikir, maka lisannya lembut basah mengucapkan kalimah zikir kepada Allah.
Islam itu mudah janganlah kamu menyusahkannya. Bukankah Islam itu agama fitrah manusia. Saya pernah terdengar satu pendapat yang mengatakan lebih baik amalan yang sedikit tetapi istiqamah. Tetapi, pada masa yang sama, sekiranya kita terasa untuk membaca Al-Quran sebanyak-banyaknya, adalah lebih baik kita melakukannya terus daripada menangguhkannya. Sekiranya kita menagguhkannya, ada kemungkinan kita tidak melakukannya langsung. Dan bukankah itu sebahagian daripada petunjuk Allah? Lakukan segala amalan mengikut kemampuan masing-masing. Allah Maha Mengetahui keikhlasan hambaNya dalam melakukan setiap amalan yang dilakukannya. Walaubagaimanapun, amalan yang dilakukan secara istiqamah lebih Allah sukai. Sebabnya adalah kerana, pada pendapat saya, apabila amalan itu dilakukan secara berterusan walaupun sedikit, sekurang-kurangnya kita mengingat akan keagungan Allah dan menyedari bahawa kita hambaNya.
Pernakah kita terfikir, mengapa sekarang kita merasakan masa berlalu begitu pantas sekali sedangkan dari dulu sampai sekarang setiap hari kita miliki 24 jam? Alasannya begitu mudah, kerana kita semakin leka dengan dunia, dan sangatlah kurang masa kita bersama Allah. Sebagai contoh, cuba kita membaca Al-Quran beberapa helaian muka surat dan kemudian lihat pada masa, tidakkan kita terasa lebih lama? Cuba kita bandingkan, apabila kita menonton televisyen, dengan sekelip mata, begitu pantas setengah jam itu berlalu. Oleh itu, hati-hatilah jika kamu merasakan masa itu berlalu dengan pantas kerana berkemungkinan kamu begita jauh dengan Allah.
Bagitu banyak amalan yang sunat yang boleh kita lakukan tetapi hendaklah kita sentiasa menjaga amalan yang diwajibkan. Kerana amalan wajib itu lebih penting. Dan lakukanlah amalan sunat itu sekadar termampu. Jangan lah dibebankan amalan sunat itu. Janganlah kita mewajibkan amalan sunat. Kerana, sekiranya kita mula mewajibkanya ia akan menjadi bebanan dan seterusnya akan merasa berat untuk melakukannya. Nyatijahnya, kita mungkin akan merasa bosan dan mula mengurangi amalan sunat itu. Akhirnya, kita akan terus meninggalkan amalan sunat itu. Bukankah itu akan merugikan diri kita sendiri? Wallahualam.
Sama-samalah kita menuju ke arah amalan yang disukai Allah. amiin.