Jumaat, 16 Oktober 2009

Kehebatan Iman Si Pedang Allah

Dari zaman persekolahan lagi kita sentiasa diingatkan dengan tokoh-tokoh agung dalam Islam. Antaranya, Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Ali dan ramai lagi. Tidak kurang juga yang diberi gelaran oleh Rasulullah. Dan salah satu yang kita saling didengari dari cuping telinga kita ialah Khalid Al-Walid; Si Pedang Allah.

Khalid Al-Walid diberi gelaran begitu kerana ketangkasannya dalam peperangan, teknik peperangan yang begitu bijak menyebabkan kesemua peperangan yang diketuai beliau memperolehi kemenangan tanpa satu kekalahan. Sang pedang Allah ini telah memimpin peperangan sejak masa jahiliyah hingga kemunculan Islam sebanyak seratus pertempuran. Hingga pada suatu tahap, tentera Islam ketika itu lebih mempercayai kepimpinan beliau berbanding bantuan dari Allah. Sebagai langkah keselamatan demi menjaga akidah umat Islam ketika itu, Khalifah Umar terpaksa menukar kepimpinan kepada pahlawan Islam yang lain.

Disaat Khalid berhenti dari tugas peperangannya, beliau lebih memilih untuk tinggal di daerah terpencil di kawasan Himsha berbanding untuk mendapatkan harta rampasan peperangan yang menjanjikan kemewahan dunia. Andai kita berada ditempatnya, adakah kita memilih untuk zuhud kepada Allah? Adakah kita mampu untuk menahan nafsu demi mendapat keredhaan Allah? Masya-Allah...

Dalam kesendiriannya, Khalid memenuhi waktu fajar hingga malam hari bersama-sama dengan mashaf Al-Quran. Khalid meratap dan menangis lantaran kelalaiannya membaca Al-Quran lantaran sering berjihad. "Aku terlalu disibukkan oleh jihad, hingga membuatkan melalaikan Al-Quran". Masya-Allah betapa agungnya keimanan pahlawan agama ini. Jika kita bertanya kepada diri sendiri, apa yang membuatkan kita sering alpa membaca kitab suci Al-Quran, pasti jawapannya berbentuk keduniaan; sibuk dengan tugasan dan sebagainya. Tapi sebab kelalaian pahlawan agama Islam ini bukanlah kerana dunia tetapi kerana jihad, jihad menyebarkan Islam, membunuh musuh-musuh Islam yang mengancam kedudukan dan keagungan Islam; begitu besarnya pahala yang diperolehinya namun beliau masih merasa tidak cukup.

Cuba kita renungkan seketika. Ada sesetengah pihak begitu yakin dengan bersedekah, menderma anak yatim, memelihara anak yatim, mampu menjaminnya ke syurga, merasa cukup dan berpuas hati dengan amalannya. Mengapa kita merasa begitu yakin? Dimanakah kehendak kita untuk lebih mendekati Rabb? Bukankah kita akan bakal menemuaNya jua? Apakah hadiah yang kita bawa untuk persembahkan? Apakah amalan kebanggaan kita untukNya?

Maha suci Allah...hidupkanlah hati kami dengan nur-Mu ya Allah, suburilah hati kami dengan keimanan yang kukuh... Amiin