Sabtu, 5 Disember 2009

Banyak atau Berkualiti?

Antara banyak dan berkualiti mana lebih baik? Sekiranya kita menghasilkan sesuatu yang kita akan jual kepada orang lain, adakah kita akan menghasilkan dengan banyak tetapi banyak cacat cela nya? Mahukah orang lain membelinya jika hasil tangan kita itu mudah rosak, tidak menarik dan banyak kekurangannya? Jawapannya yang pasti, tidak kira siapa pun manusia itu, barang yang kita hasilkan acuh tidak acuh itu tidak akan mendapat sambutan.

Itulah analogi yang boleh diberikan, sedangkan manusia tahu menilainya inikan pula solat, ibadah-ibadah sunat yang kita persembahkan kepada tuhan yang menciptakan kita. Tidakkan kamu terfikir bahawa tuhan itu sangatlah besar kekuasaannya dan pengetahuannya meliputi langit dan bumi. Sejauh mana kamu cuba menyembunyikan kesalahan mu, cuba menipu Allah tetapi percayalah bahawa kamu telah menganiayai dan menipu diri kamu sendiri. Ketahuilah azab Allah itu amatlah besar. Dulu, bila orang bercakap tentang azab Allah amatlah pedih, hanya secebis sahaja rasa takut itu muncul dan saya sendiri tidak tahu mengapa dan dimana silapnya. Sekiranya kamu juga begitu, sepatutnya kita berhati-hati kerana iman kita begitu lemah sehingga meremehkan azab Allah. Dan saya yakin sekiranya tidak ada perasaan takut kepada Allah, percayalah tidak mustahil kita akan melakukan dosa-dosa kecil yang seterusnya membawa kita kepada dosa-dosa besar tanpa rasa bersalah sebaliknya berbangga dengan dosa yang dilakukan. Tatkala itu, ketahuilah wahai kaum muslimin dan muslimat bahawa kamu sangat jauh dari Allah dan Allah telah membiarkan kamu dan tidak mempedulikan kamu.

Namun, sekiranya kamu sedar, kemudian bertaubat, maka ketahuilah Allah itu Maha Pengampun dan bergembiralah kamu kerana dipilih Allah untuk menyertai perjuangan Islam dan berjalanlah diatas muka bumi ini dengan kalimah Lailahaillahallah. Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada Abu Dzar :
" Tidakkah engaku tahu bahawa Islam itu menghancurkan semua kesalahan masa lalu, dan taubat itu menghapus segala dosa yang dilakukan sebelumnya"

Nilai iman itu menetap di dalam hati dan dibenarkan oleh perbuatan. Dalam erti kata lain, janganlah kita salah faham bahawa kesulitan dalam beribadah itu merupakan jalan untuk meraih hidayah. Firman Allah swt :
"Untuk meguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya" (Hud : 7 )
Betapa cantik dan telitinya ayat Al-Quran. Allah tidak berfirman "yang lebih banyak amalannya" kerana Allah lebih mengetahui kemampuan setiap hambanya. Menurut ulama tafsir perkataan baik dalam ayat di atas bermakna kualiti.

Dalam hal ini, Fudail bin Iyadh pernah berkata amal yang paling baik adalah amal yang paling benar dan murni. Dan amalan yang paling murni adalah amal yang ditujukan untuk meraih reda Allah, dan amalan yang paling benar adalah amalan yang mengikuti sunnah Rasulullah saw.

Dan sesungguhnya, jika kamu berusaha melakukan sesuatu demi meraih keredhaan dan kegembiraan Allah maka Allah akan sentiasa membantu dan mempermudahkan urusan mu akan tetapi, sekiranya kamu berusaha untuk menggembirakan hati manusia maka Allah akan menyerahkanmu sepenuhnya kepada manusia. Dan ketahuilah manusia itu banyak kekurangannya dan boleh jadi tidak secebis pun perasaan berterima kasih kepada mu sebalinya mungkin dia akan mengutukmu dan mengumpat tentang perbuatan yang kamu lakukan untuk nya.

Bersangka baiklah kepada Allah kerana kamu akan merasa bersyukur kepada Allah dan akan semakin mendekati Allah. Sebagai contoh, kamu keluar dengan tergesa-gesa untuk ke sesuatu tempat dan kemungkinan besar kamu akan lewat. Tetapi, sedang kamu berjalan setelah beberapa minit, kamu teringat sesuatu dan barang tersebut tertinggal di rumah. Kamu terpaksa patah balik untuk mengambilnya. Janganlah kamu merungut, marah dalam perjalanan kamu berpatah balik, kerana mungkin Allah telah meyelamatkan kamu dari bahaya yang tidak kamu ketahui. Sekiranya kamu berjaya berfikir sebegitu, kamu akan bersyukur kepada Allah kerana menyelamatkan kamu dari bahaya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Allah tahu apa yang terbaik untuk kamu. wallahualam

Sama-samalah kita memperbaiki diri kerana semua manusia itu tidak sempurna dan tidak akan sempurna kerana itulah kita perlu sedar bahawa kita sangat lemah dan hanya doa dan bermunajat kepadaNya sahajalah jalan keluar. Insyaallah. Janji Allah itu pasti.

Ahad, 29 November 2009

Kamu sengaja dilupai atau memilih untuk dilupai?

Dalam hidup ini kita sentiasa diberi dua pilihan. Dan setiap pilihan itu, pastu ada kesannya dan pengakhirannya tersendiri.

Jika kita memilih untuk berjaya di dunia. Maka kita akan menghabiskan seluruh tenaga untuk mendapatkan pujian manusia, tidak mengenal hukum Islam tetapi hanya mengenal nilai mata wang. Namun jika kita memilih untuk kejayaan dunia dan akhirat, makan kita akan melebihkan pandangan Allah berbanding pandangan manusia. Ada kalanya kita, terutamaya pelajar, sentiasa berdoa untuk kepada Allah agar diberikan kejayaan. Tetapi, kita tidak mengetahui bahawa kejayaan itu akan lebih mendekatkan diri kita kepada Allah atau tidak. Oleh itu, alangkah lebih baik jika kita berdoa agar diberikan kejayaan sekiranya ia baik untuk kita. Janganlah kita bersedih sekiranya kita ditimpa musibah kita bersungut dan mula meragui keagungan Allah. Kerana, Allah itu lebih menyayangi hambaNya sedarilah Allah adalah pencipta kita. Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 216: ....boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu....

Apabila kita ditimpa musibah, seharusnya kita bergembira kerana kita dipilih oleh Allah dan diperhatikan oleh Allah agar sentiasa mengingatiNya. Namun zaman sekarang, walaupun sudah maju, masih ada lagi yang berpegang kepada ilmu hitam dan bomoh, bergantung kepada mereka sedangkan mereka hanyalah manusia biasa yang akhirnya masuk kedalam tanah jua; tanah yang sama jenis tanpa mengira status apa pun.

Sekiranya kita yakin akan kuasa Allah, insyaallah kita akan sentiasa berfikiran positif, sentiasa memandang sesuatu dari sudut positif. Dan untuk memujuk hati kita hanyalah satu cara; iaitu dengan mengingati Allah. Ketahuilah, Islam itu agama fitrah, agama yang boleh membahagiakan diri kita, hati kita. Dari sudut psikologi, jika kita sentiasa berfikiran positif, ia akan membantu perkembangan diri dan otak agar meningkat ke tahap yang lebih tinggi seterusnya memiliki akhlak yang terpuji.

Zaman sekarang, hukum-hukum Islam dipandang rendah, dipandang remeh. Kononya, Islam itu kolot. Jika benar Islam itu kolot, kenapa dan mengapa dari sudut kajian astrologi misalnya, dalam surah yasin secara terang-terangan Al-Quran menyatakan bahawa planet-planet beredar pada paksinya. Namun, saintis- saintis dapat menkajinya setelah beratus-ratus tahun kemudian. Masih berfikir Islam itu kolot? Apa istilah kolot pada pandangan golongan yang berfikiran begitu? Hanya kerana Islam menetapkan hukum memakai tudung?? Allah lebih mengetahui apa yang tersirat dan tersirat? Siapa kamu untuk dibandingkan dengan kekuasaan Allah? Siapa kamu untuk membenarkan kamu membuka auratmu? Apa kekuasaan kamu yang mengatasi kekuasaan Allah yang membolehkan kamu melakukan sesuka hati???

Lakukan lah apa yang kamu sukai kerana kelak kamu akan dipertanyakan amalan kamu. Berbanggalah dengan kejahilan dan kekufuran yang kamu lakukan kerana kelak kamu akan tunduk malu merayu-rayu agar diberi peluang sekali lagi untuk beramal kepadaNya. Ketahuilah azab Allah itu benar, mati itu kenyataan dan dunia itu pentas lakonan semata-mata.

Jika kamu berani melupakan Allah dan mendustai ayat-ayat Allah sebagaimana firmanNya :

"Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu pula pada hari ini kamu pun dilupakan." (surah thaha:126)

"Maka pada hari kiamat ini, Kami melupakan mereka sebagaimana mereka melupakan pertemuan mereka dengan hari ini, dan sebagaimana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Kami." ( surah Al-Araf: 51)

Lupa pada maksud disini adalah meninggalkan. Sifat lupa tidak layak sama sekali disandarkan kepada Allah.

Renungkanlah, kita sentiasa diberi pilihan dalam setiap perbuatan. Melakukannya atau meninggalkannya. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah agar Allah sentiasa menepatkan pilihan kita apabila kita diberi pilihan. Amiin.

Tidak mengapa kita dibenci manusia kerana memang manusia itu lupa siapa dirinya. Maka kita yang sedar kita adalah hamba Allah ini, perbetulkanlah diri. Biarlah kita digelar kolot, tidak ikut perkembangan fashion kononnya, asalkan kita menjaga aurat kita. Biarlah apa pun yang dikatakan oleh mereka, kerana pandangan Allah terhadap kita itu lebih penting dari manusia. Walaubagaimanapun, kita tidak diberi hak oleh Allah untuk memandang rendah kepada manusia lain.

Menurut Imam Syafie, janganlah kamu memandang rendah kepada kanak-kanak, kerana sekiranya dia meninggal pada saat dia belum baligh maka dia akan dimasukkan ke dalam syurga tanpa timbangan, janganlah kamu memandang rendah pada orang kafir, kerana jika dia masuk Islam, dia akan dibersihkan Allah dari segala dosa terdahulu seperti bayi yang dilahirkan, janganlah kamu memandang rendah kepada orang yang kufur kepada Allah, kerana jika dia bertaubat, dia akan lebih kuat imannya kerana dosanya yang terdahulu membolehkan dia merasakan kenikmatan iman lebih dari kita yang tidak melakukan maksiat.

Jangan menangguhkan solat sunat taubat kerana itu yang syaitan mahukan. Jangan tangguhkan amalan yang ingin kita lakukan kerana kita tidak tahu bila waktu kita diambil nyawa.

Pilihlah jalan mana yang kamu mahu.




Pintu Pintu Kebaikan

Bukhari dalam kitab sahihnya meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda :

"Orang yang memberi nafkah kepada dua orang isterinya kerana Allah, maka dia akan masuk syurga, Wahai hamba Allah, ini adalah kebaikan. Orang yang suka mendirikan solat, maka dia akan dipanggil dari pintu solat. Orang yang suka bersedakah, maka dia akan dipanggil dari pintu sedekah. Orang yang suka berpuasa, maka dia akan dipanggil dari pintu ar-Rayyan, dan orang yang suka berjihad, maka dia akan dipanggil dari pintu jihad." (HR Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis ini jelas menunjukkan sifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang Allah swt. Allah tidak pernah mewajibkan kepada hamba-hambaNya sesuatu yang tidak mampu dilakukan hambaNya. Allah Maha mengetahui kemampuan setiap hambanya. Dalam hadis ini, Allah memberi kepada pilihan kepada kita untuk melakukan mana-mana kebaikan yang mampu kita lakukan.

Ada sebahagian manusia yang merasa senang, puas dan merasa dekat dengan Allah dalam solat. Maka mereka lebih senang untuk melakukan solat malam. Ada sebahagian manusia pula yang lebih suka berpuasa. Dan golongan ini berupaya untuk berpuasa ditengah matahari terik; musim kemarau, maka pintu syurganya ialah AR-Rayyan; sebahagian pula merasa senang dengan berzikir, maka lisannya lembut basah mengucapkan kalimah zikir kepada Allah.

Islam itu mudah janganlah kamu menyusahkannya. Bukankah Islam itu agama fitrah manusia. Saya pernah terdengar satu pendapat yang mengatakan lebih baik amalan yang sedikit tetapi istiqamah. Tetapi, pada masa yang sama, sekiranya kita terasa untuk membaca Al-Quran sebanyak-banyaknya, adalah lebih baik kita melakukannya terus daripada menangguhkannya. Sekiranya kita menagguhkannya, ada kemungkinan kita tidak melakukannya langsung. Dan bukankah itu sebahagian daripada petunjuk Allah? Lakukan segala amalan mengikut kemampuan masing-masing. Allah Maha Mengetahui keikhlasan hambaNya dalam melakukan setiap amalan yang dilakukannya. Walaubagaimanapun, amalan yang dilakukan secara istiqamah lebih Allah sukai. Sebabnya adalah kerana, pada pendapat saya, apabila amalan itu dilakukan secara berterusan walaupun sedikit, sekurang-kurangnya kita mengingat akan keagungan Allah dan menyedari bahawa kita hambaNya.

Pernakah kita terfikir, mengapa sekarang kita merasakan masa berlalu begitu pantas sekali sedangkan dari dulu sampai sekarang setiap hari kita miliki 24 jam? Alasannya begitu mudah, kerana kita semakin leka dengan dunia, dan sangatlah kurang masa kita bersama Allah. Sebagai contoh, cuba kita membaca Al-Quran beberapa helaian muka surat dan kemudian lihat pada masa, tidakkan kita terasa lebih lama? Cuba kita bandingkan, apabila kita menonton televisyen, dengan sekelip mata, begitu pantas setengah jam itu berlalu. Oleh itu, hati-hatilah jika kamu merasakan masa itu berlalu dengan pantas kerana berkemungkinan kamu begita jauh dengan Allah.

Bagitu banyak amalan yang sunat yang boleh kita lakukan tetapi hendaklah kita sentiasa menjaga amalan yang diwajibkan. Kerana amalan wajib itu lebih penting. Dan lakukanlah amalan sunat itu sekadar termampu. Jangan lah dibebankan amalan sunat itu. Janganlah kita mewajibkan amalan sunat. Kerana, sekiranya kita mula mewajibkanya ia akan menjadi bebanan dan seterusnya akan merasa berat untuk melakukannya. Nyatijahnya, kita mungkin akan merasa bosan dan mula mengurangi amalan sunat itu. Akhirnya, kita akan terus meninggalkan amalan sunat itu. Bukankah itu akan merugikan diri kita sendiri? Wallahualam.

Sama-samalah kita menuju ke arah amalan yang disukai Allah. amiin.

Sabtu, 31 Oktober 2009

Di Sebalik Ayat Qursi

Kisah bermula, apabila Abu Hurairah ditugaskan oleh Rasulullah s.a.w untuk menjaga biji-biji kurma yang disedahkan oleh orang muslim untuk diagih-agihkan.

Pada suatu malam, ketika Abu Hurairah sedang menjaga kurma-kurma tersebut, datanglah seorang sheikh dengan membawa beg plastik dan sebilah tongkat. Kemudian ia berbicara kepada Abu Hurairah: "Saya mengharapkan sesuatu dari harta Allah ini.Kerana, saya adalah orang yang miskin yang harus menghidupkan keluarga, padahal saya sudah sangat tua."Yang membuatkan Abu Hurairah marah ialah apabila dia datang dan secara tiba-tiba terus mengisi beg plastiknya dengan buah kurma. Melihat perbuataannya inilah Abu Hurairah segera menangkapnya dan berkata :"Demi Allah, saya akan membawamu menghadap Rasulullah s.a.w"

Sheikh itu meronta-ronta minta dilepaskan lalu berkata:"Lepaskan ak, kasihan anak dan isteriku apabila engkau menangkapku." Mendengar rayuannya itu, Abu Hurairah segera melepaskannya.

Malam berikutnya, sheikh tersebut datang lagi dan melakukan perkara yang sama. Kerana kasihan, Abu Hurairah lantas melepaskannya sekali lagi.

Pada malam ketiga, Abu Hurairah benar-benar bertekad untuk membawa sheikh tersebut kepada Rasulullah. Abu Hurairah segera menangkapnya lalu mengheretnya. Sheikh tersebut meronta-ronta dan berkata : " Lepaskanlah aku, dan aku akan mengajarimu suatu bacaan, yang apabila engkau baca pada malam hari, nescaya syaitan tidak akan berani mendekatimu."Abu Hurairah membalas dengan perasaan ingin tahu : " Bacaan apakah itu?"

Sheikh itu pun menjawab : "Inilah bacaaannya ;

"Allah, tidak ada tuhan(yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup Kekal lagi berterusan mengurus(makhlukNya); tidak mengantuk dan tidak tidur.KepunyaanNya apa yang ada di langit dan dibumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya. Allah mengetahui apa yang berada dihadapan dan dibelakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendakiNya. Kerusi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar". (Surah Al-Baqarah:255)

Abu Hurairah kemudiannya segera menemui Rasulullah untuk menanyakan kebenaran kata-kata sheikh tersebut. Mendengarkan cerita tersebut, baginda lalu bertanya sama ada Abu Hurairah mengetahui siapakah sheikh tersebut. Abu Hurairah menjawab tidak sambil menggelengkan kepalanya.

Rasulullah kemudiannya berkata:
"Orang yang mendatangimu itu adalah syaitan yang menjelma dalam wujud seorang manusia. Meskipun apa yang disampaikan kepadamu adalah benar, akan tetapi dalam segala hal, ia adalah pendusta."

Begitulah kisah disebalik sepotong ayat Al-Quran. Pernahkah kita terfikir, dengan hanya sepotong ayat Allah mampu memberikan begitu betapa besarnya hikmah. Cuba bayangkan berapa banyak ayat-ayat Allah dan berapa banyak hikmah yang diberikannya kepada hambaNya. Maka nikmat Allah yang manakah kamu dustai?

Namun, kita dalam sehari, begitu susah sekali untu membaca satu muka surat Al-Quran padahal ia nya hanya mengambil beberapa minit sahaja dari 24jam. Pernah kah kita menghitung dalam sehari berapa banyak masa yang kita habiskan di tikar sejadah? berapa lama kita berzikir di bandingkan dengan kita menonton tv, membaca bahan bacaan duniawi??Namun tidaklah bermakna kita perlu mengabaikan keperluan dunia kerana Allah sangat suka hambaNya yang pandai mengimbangi keperluan dunia dan akhirat.

Ya Allah berilah kesedaran kepada kami agar kami sentiasa mengingatiMu dalam segala hal dan berusaha untuk mengamalkan segala amalan yang Kau sukai. Jadilah kami dalam golongan yang Kau pilih untuk menerima hidayah Mu.


Hidayah

Hidayah milik Allah. Bila ditanya, mengapa kamu tidak solat? Jawabnya, "Belum sampai seru, hidayah tak sampai lagi". Namun apakah kamu mengerti apakah itu hidayah??Tahukah kamu bahawa hidayah itu perlu dicari??? Dan jika ada kesungguhan pasti Allah tidak akan menyia-nyiakan hambaNya. Seorang pencipta robot yang mencipta robot yang begitu sempurna ; adakah dia sanggup memusnahkannya?? Melainkan sekiranya robot itu mendatangkan masalah maka tidak hairanlah jika pencipta tersebut memusnahkannya. Begitulah misalannya. Tetapi Allah tidak seperti itu; sentiasa memberi peluang kepada hamba-hambaNya untuk kembali kepadaNya; sentiasa menunggu lafaz zikir taubat kepadaNya; sungguh Allah Maha Penyayang lagi Maha Pengampun.

Masihkah kita ingat nama sahabat Rasulullah yang bernama Salman Al-Farisi? Mari kita selusuri sejarahnya untuk tatapan kita semua sebagai bukti jaminan Allah memberi hidayah kepada orang yang berusaha mendapatkannya.

Salman pada mulanya juga penyembah api;tidak mengenal penciptanya; sesat. Hatinya kosong tanpa secebis pun nilai keimanan. Ketika dia mencari-cari agama yang sebenar, dia terlihat beberapa orang Nasrani yang berpakaian dengan pakaian kebesarannya sedang melakukan amalan ritual keagamaan. Tanpa berfikir panjang, dia mendatangi mereka dan berlaku beberapa soal jawab. Ketika, die mendapati bahawa agama Nasrani lebih baik dari agama Majusi. Lalu, dia segera menemui seorang rahib dan rahib tersebut menyarankan agar dia menuntut ilmu dengan seorang rahib yang lain, begitula seterusnya hinggalah dia menemui seorang rahib yang soleh. Ketika rahib tersebut hendak meninggal, Salman bertanya kepadanya: "Setelah sekian lama aku bersama anda, aku dapat menyimpulkan bahawa dalam dirimu ada kebaikan. Sekarang, siapa yang engkau sarankan untuk kutemui?" Rahib itu menjawab:" Sampai sekarang, tak ada orang yang soleh dimuka bumi ini yang melebihi seorang nabi yang diutus oleh Allah SWT,yang sekarang sudah dekat masanya. Jika engkau mendengar berita tentang kedatangannya, bergabunglah dengannya. Dia berada dimuka bumi yang memiliki tanah pergunungan gersang lagi hitam dan ditumbuhi kurma."

Dan ketika lafaz Allahhu Akhbar berkumandang di Makkah, Salman bergegas berangkat ke sana. Akhirnya, Salman tiba diperkampung Yahudi yang berbukit, gersang, hitam, dan ditumbuhi kurma. Dia sedang menanti kehadiran si pemberi petunjuk, mengingatkan dia kembali kepada agama fitrah yang diredhai sang pencipta sebenar.

Tatkala masa yang dinanti tiba, Salman cuba menguji rasulullah dengan tiga ciri-ciri kerasulan yang pernah diberitakan oleh rahibnya dahulu.

Yang pertama : tidak menerima sedekah. Untuk membuktikan perkara ini, Salman pergi menuju pohon kurma lalu memetik beberapa buah kurma dan membawanya ke hadapan rasulullah s.a.w yang berada ditengah-tengah sahabatnya. Salman lastas berkata , "Ini sedekaku untukmu." Rasulullah s.a.w tidak menerimanya tetapi para sahabat baginda memakannya.

Sifat yang kedua: menerima hadiah. Hari kedua. Salman menguji baginda sekali lagi. Kali ini Salman berkata kepada baginda :" Kurma ini saya hadiahkan untukmu." Rasulullah kemudiannya menerimanya dan memakannya.

Ketiga: dikedua bahunya terdapat tanda kenabian(Khatan An-Nubuwah). Pada suatu hari, berlaku kematian lantas Rasulullah menguruskan dan menghantar jenazah tersebut. Salman cuba meneliti dibelakang baginda namun tidak kelihatan kerana Rasulullah memakai baju. Melihatkan kelakuan Salman, Rasulullah sengaja membuka bajunya. Terlihalah Salman akan tanda kenabian. Die segera menerjah ke arah Rasulullah sambil mencium-cium tanda tersebut dengan air mata yang bercucuran. Kerinduannya terhadap kebenaran akhirnya tiba jua.Betapa gembiranya dia bertemu dengan kekasih Allah, saat yang dinanti tiba jua lalu melafazkan dua kalimah syahadah.

Begitula kuasa Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang berusaha mencarinya. Dalam kehidupan sekalipun, kita tidak akan berjaya jika tidak berusaha; sekalipun makan perlukan usaha; usaha untuk mencari bahan memasak yang halal, usaha memasak, dan usaha untuk menyuapkannya ke dalam mulut.

Adakah sifat kemunifikan ada pada diri kita?

Satu persoalan yang sangat susah untuk kita jawabnya sendiri. Namun ada juga sebahagian kita yang yakin bahawa mereka tidak ada langsung sifat munafik. Persoalannya mengapa mereka memiliki begitu banyak keyakinan sedangkan mereka tidak tahu adakah amalan itu diterima atau tidak; apa pandangan Allah terhadap setiap amalan yang dilakukan. Adakah kita layak bergelar umat Islam sejati atau Islam sekadar di kad pengenalan?

Sifat-sifat munafik sangat banyak dijelaskan dalam Al-Quran.Antara ciri-cirinya ialah:
1) Lebih mementingkan pandangan manusia daripada Allah.Setiap amalan yang dilakukan hanyalah untuk mendapat pujian manusia agar manusia menyanjunginya sebagai manusia yang alim dan warak.Sedangkan didalam hati nya bersungut dan ingkar akan perintah Allah. Tetapi, perlu diingat bahawa Allah itu Maha Mengetahui akan isi hati hambaNya seperti mana dlaam firmannya :

Surah An-Nisa: ayat 142 yang bermaksud :
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka."

2) Bermalas-malasan melakukan amalan yang diwajibkan seperti solat.Saya pernah mendengar sebuah ceramah yang pernah menekankan solat subuh ini. Penceramah tersebut berkata bahawa keimanan seseorang itu terletak pada solat subuhnya.Kerana, ketika itu manusia sangat seronok dibuai mimpi, tidur diatas katil yang empuk hingga terlupa kewajipannya terhadap Allah. Tidakkah kamu ketahui bahawa tidur itu adalah mati sementara. Mengapa kamu menangguh-nangguhkan solat sedangkan Allah tidak pernah menangguhkan setiap sedutan oksigen yang kamu ambil. Maka nikmat Allah yang manakah kamu dustai??

3) Apabila orang munafik berkumpul dan bertemu mereka akan menghina, memperkotak katikkan ahli-ahli ibadah, alim ulama dan kaum muslim yang ketat menjaga agama.

Surah Al-Baqarah:ayat 14-15 yang bermaksud:
"Dan bila mereka berjumpa dengan orang-orang beriman, mereka mengatakan 'Kami telah beriman' Dan bila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan:"Sesungguhnya kami sependirian dengan kamu, kami hanyalah berolok-olokkan".Allah akan membalas olok-olokkan mereka dan membiarkan mereka terombang-ambing dalam kesesatan mereka."

Contohnya, pada zaman sekarang, ramai manusia yang menentang setiap hukum yang telah ditetapkan oleh alim ulama. Pernah suatu ketika disiarkan didalam akhbar hukum menghisap rokok adalah haram tetapi ramai yang membantah. Kemudian keluar pula fatwa lain yang mengatakan hukumnya ialah makhruh. Jadi hukum yang mana kamu ingin contohi?? Satu pertanyaan, sememangnya saya tidak pernah merokok dan insyaallah tidak akan merokok, apakah kebaikan di sebalik merokok ini? Kalaulah ada kebaikan tentu sahaja para ulama tidak akan berselisih pendapat mengenai ini. Dan ingatlah, rasulullah pernah bersabda, yang halal dan yang haram itu nyata dan berada ditengah-tengahnya adalah subhah maka jauhilah. Jadi, jauhilah merokok. huhu

Itu adalah antara sifat-sifat munafik yang sempat saya nyatakan.Sentiasalah berdoa agar kita tidak tergolong dalam golongan sebegitu dan sesungguhnya azab Allah sangatlah pedih. Sentiasalah merendah diri dan menganggap kita berada di bawah kerana kita sendiri tidak tahu sejauh mana amalan kita diterima Allah sedangkan rasulullah sendiri melakukan solat malam hingga bengkak buku lalinya. Allah sangat suka hambaNya yang merendah diri. Janganlah menuding jari ke arah orang lain ; mungkin orang tersebut lebih tinggi amalannya dari kita. Wallahualam. Nauzubillah. moga-moga kita tidah tergolong dalam golongan yang munafik.



Jumaat, 16 Oktober 2009

Rasulullah melompat dari tidurnya...

Dalam kitab Shahih Muslim diriwayatkan bahawa Aisyah, isteri Rasulullah s.a.w, pernah ditanya tentang waktu-waktu yang biasanya Rasulullah s.a.w bangkit dari tidur malamnya?

Soalan ini lalu dijawab oleh Saidatina Aisyah dengan mengatakan bahawasanya Rasulullah s.a.w akan melompat dari tidurnya ketika baginda mendengar suara ayam berkokok. Persoalannya, mengapa isteri baginda menggunakan istilah melompat dari tidurnya berbanding bangkit,angun dari tidur??

Jawapannya terukir di dalam puisi ini :

Di lingkungan tempat tinggal kami
Ayam-ayam selalu berkokok dan membangunkan mereka yang sedang terlena dibuai mimpi
Kerana, dalam tidur
Rembulan bagaikan meratapi kelenaan kami
Bahkan burung-burung turut menangisi kelalaian kami
Apabila lalat sudah tidak menangisi lagi, sedarilah
Bahawa ajalmu telah dekat
Dan kematian akan segera menjemputmu
(petikan puisi dari buku berjudul 'Kembali Kepada Allah s.w.t' ; Dr Aidh Abdullah Al-Qarni)

Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadith sahih :
"Sebaik-baik hamba Allah adalah mereka yang bangun di malam hari dan mengabdi kepada-Nya".

Apakah ciri-ciri hamba Allah yang sejati? Berikut adalah petikan dari bahan bacaan yang telah saya kumpulkan. Ciri-cirinya begitu banyak tapi apa kata kita amalkan semampu yang boleh? Jangan selalu bertangguh amalan baik ini kerana syaitan memang sentiasa menunggu peluang untuk kita merebut syurga Allah. Tapi, kita perlu ingat, amalan yang sedikit tetapi istiqamah itu lebih Allah sayang berbanding banyak tetapi tidak istiqamah...wallahualam.

Ciri-ciri hamba sejati :
1) Mengambil waktu sedikit untuk tidur di malam hari.
Ketahuilah bahawa tidur yang banyak mampu mengelapkan hati. Hati yang gelap menghalang kita untuk merasai erti sebenar kemanisan iman.
2) Memperbanyakkan amal, zikir dan renungan kekuasaan Allah, seksa neraka dan kenikmatan syurga.
Di bumi manakah yang kita mampu hidup tanpa merasai nikmat Allah , jiwa yang kita miliki juga adalah kekurniaannya, iman dan islam yang diberikan sekarang pula adalah hadiah yang tidak ternilai harganya dari Allah. Begitu banyak nikmat kita telan, nikmati namun firman Allah, amatlah sedikit di antara kamu yang bersyukur. Maka mengapa tidak kita menjadi antara golongan yang sedikit;sentiasa bersyukur? Insya-Allah
3) Dan apabila tidak mampu untuk bangun malam, Allah memberi kita alternatif lain iaitu menunaikan solat dua rakaat di waktu sahur. Maha Suci Allah yang Maha Penyayang dan sentiasa memberi peluang kepada hamba-Nya membetulkan diri.

Ini adalah petikan puisi yang saya peroleh dari buku yang sama seperti di atas sebagai renungan untuk kita dan mungkin juga menjadi kekuatan motivasi keimanan kita. Insya-Allah
Ya Tuhan, panjangkanlah malam bagi kami
Agar kelopak mata ini tetap sedar dan merasakan kehadiran-Mu
untuk dapat meraih ampunan-Mu,
Kerana,
siapa yang mengundur-undur kebersamaan bersama bintang-bintang,
Bintang-bintang tersebut akan segera mengepakkan sayapnya dan berlalu darinya
Maka apabila kesempatan itu telah pergi,
Ubatilah penyesalan itu dengan kebersamaan bersama cahaya pagi
Setelah itu,
lanjutkan ibadahmu bersama cahaya Dhuha

Sedar atau pun tidak, terdapat perbandingan apabila kita menangis disebabkan keduniaan dan juga penyesalan dan ratapan kepada Ya Rabb..secara saintifik masih tidak diketahui.. Air mata yang mengalir disebabkan penyesalan dan untuk mendapat keredhaan Allah tidak akan menyebabkan bengkak mata berbanding kita tangisi kerana keduniaan. Walaupun seketika, jika alasan kerana dunia semata-mata, hasilnya : mata akan membengkak. Rahsia Allah yang tidak ada tolok bandingnya...Maha Suci Allah yang memiliki segala zat...subhanallah

Kehebatan Iman Si Pedang Allah

Dari zaman persekolahan lagi kita sentiasa diingatkan dengan tokoh-tokoh agung dalam Islam. Antaranya, Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Ali dan ramai lagi. Tidak kurang juga yang diberi gelaran oleh Rasulullah. Dan salah satu yang kita saling didengari dari cuping telinga kita ialah Khalid Al-Walid; Si Pedang Allah.

Khalid Al-Walid diberi gelaran begitu kerana ketangkasannya dalam peperangan, teknik peperangan yang begitu bijak menyebabkan kesemua peperangan yang diketuai beliau memperolehi kemenangan tanpa satu kekalahan. Sang pedang Allah ini telah memimpin peperangan sejak masa jahiliyah hingga kemunculan Islam sebanyak seratus pertempuran. Hingga pada suatu tahap, tentera Islam ketika itu lebih mempercayai kepimpinan beliau berbanding bantuan dari Allah. Sebagai langkah keselamatan demi menjaga akidah umat Islam ketika itu, Khalifah Umar terpaksa menukar kepimpinan kepada pahlawan Islam yang lain.

Disaat Khalid berhenti dari tugas peperangannya, beliau lebih memilih untuk tinggal di daerah terpencil di kawasan Himsha berbanding untuk mendapatkan harta rampasan peperangan yang menjanjikan kemewahan dunia. Andai kita berada ditempatnya, adakah kita memilih untuk zuhud kepada Allah? Adakah kita mampu untuk menahan nafsu demi mendapat keredhaan Allah? Masya-Allah...

Dalam kesendiriannya, Khalid memenuhi waktu fajar hingga malam hari bersama-sama dengan mashaf Al-Quran. Khalid meratap dan menangis lantaran kelalaiannya membaca Al-Quran lantaran sering berjihad. "Aku terlalu disibukkan oleh jihad, hingga membuatkan melalaikan Al-Quran". Masya-Allah betapa agungnya keimanan pahlawan agama ini. Jika kita bertanya kepada diri sendiri, apa yang membuatkan kita sering alpa membaca kitab suci Al-Quran, pasti jawapannya berbentuk keduniaan; sibuk dengan tugasan dan sebagainya. Tapi sebab kelalaian pahlawan agama Islam ini bukanlah kerana dunia tetapi kerana jihad, jihad menyebarkan Islam, membunuh musuh-musuh Islam yang mengancam kedudukan dan keagungan Islam; begitu besarnya pahala yang diperolehinya namun beliau masih merasa tidak cukup.

Cuba kita renungkan seketika. Ada sesetengah pihak begitu yakin dengan bersedekah, menderma anak yatim, memelihara anak yatim, mampu menjaminnya ke syurga, merasa cukup dan berpuas hati dengan amalannya. Mengapa kita merasa begitu yakin? Dimanakah kehendak kita untuk lebih mendekati Rabb? Bukankah kita akan bakal menemuaNya jua? Apakah hadiah yang kita bawa untuk persembahkan? Apakah amalan kebanggaan kita untukNya?

Maha suci Allah...hidupkanlah hati kami dengan nur-Mu ya Allah, suburilah hati kami dengan keimanan yang kukuh... Amiin

Isnin, 12 Oktober 2009




Moga-moga kita diberi kesempatan untuk ke sini dengan rezeki yang halal... amiinn






Untuk diriku yang sentiasa lalai

Selama ini kita hanya akan teringat detik kematian dan azab allah apabila ditimpa bala bencana seperti ribut taufan, gempa bumi yang dahsyat dan sebagainya. Akan tetapi, apabila kita terselamat dari bala bencana itu kita lupa untuk melafazkan alhamdulillah kerana terselamat dan berdoa agar tidak tergolong dalam golongan orang-orang yg kufur. Kita terus melupakan apa yang berlaku dan tidah mengambil pengajaran daripadanya ... seperti kaum terdahulu... kenapa? Kite berdoa semasa kejadian berlaku tp melupakanNya apabila telah berlaku... alangkah pendeknya kesedaran kita kan?

Surah Al-Araf : 74
Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi.

Kita juga perlu sedar bahawasanya azab Allah itu tidak diturunkan sekadar dalam bentuk fizikal sahaja tetapi apa yang lebih menakutkan apabila Allah mengeraskan hati kita, membutakan mata kita dan memekakkan telinga kita; menghalang kita dari mendapat hidayahNya. Kita mungkin berbahagia sekarang di dunia kerana tidak mengalami kesulitan dalam kehidupan seharian dan merasa bangga melakukan perbuatan dilarang Allah, bahkan perkara itulah lebih menakutkan.

Saidina Umar Al-Khattab pernah menangis dan merayu kepada Allah agar diberikan kesulitan dalam hidupnya. Alasannya, beliau takut kalau-kalau Allah melupakannya dan membiarkan die dibuai kehidupan dunia yang menipu.

Tetapi kita sekarang, lebih suka tidak diuji dan ada juga segelintir manusia yang bangga dengan kejahatan yang dilakukan. Maka, inilah yang Rasulullah pernah bersabda mengenai manusia akhir zaman; tidak malu melakukan perbuatan yang dilarang Allah malah merasa bangga terhadapnya.

Oleh itu, saya menasihatkan diri saya sendiri, kalau kita merasa terlalu bahagia dengan dunia, melakukan kejahatan sesuka hati tanpa diuji Allah, diingatkan oleh Allah, besar kemungkinan kita dilupakan. Apa yang lebih menakutkan, Allah sengaja membiarkan kita bergembira di dunia dan menyimpan azabnya yang berat di akhirat. nauzubillah...

Marilah kita renungkan bersama-sama...andaikata kita nyawa dicabut ketika ini. apa hadiah yang kita bawa untuk dipersembahkan kepada Allah..

Selamat Datang

Assalammualaikum,

Ini adalah kali pertama saya mereka blog sendiri ; serba kekurangan.Tujuannya sekadar memperingati diri sendiri yang semakin lalai disamping mengajak rakan-rakan bersama..huhu...Apela maknanya ilmu itu jika tak dikongsi kan? Jadi, marilah kita sama-sama renungkan...tiada manusia sempurna

Surah Ar-Rum ayat 7:
Mereka hanya mengetahui tentang perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang akhirat.