Sabtu, 5 Disember 2009

Banyak atau Berkualiti?

Antara banyak dan berkualiti mana lebih baik? Sekiranya kita menghasilkan sesuatu yang kita akan jual kepada orang lain, adakah kita akan menghasilkan dengan banyak tetapi banyak cacat cela nya? Mahukah orang lain membelinya jika hasil tangan kita itu mudah rosak, tidak menarik dan banyak kekurangannya? Jawapannya yang pasti, tidak kira siapa pun manusia itu, barang yang kita hasilkan acuh tidak acuh itu tidak akan mendapat sambutan.

Itulah analogi yang boleh diberikan, sedangkan manusia tahu menilainya inikan pula solat, ibadah-ibadah sunat yang kita persembahkan kepada tuhan yang menciptakan kita. Tidakkan kamu terfikir bahawa tuhan itu sangatlah besar kekuasaannya dan pengetahuannya meliputi langit dan bumi. Sejauh mana kamu cuba menyembunyikan kesalahan mu, cuba menipu Allah tetapi percayalah bahawa kamu telah menganiayai dan menipu diri kamu sendiri. Ketahuilah azab Allah itu amatlah besar. Dulu, bila orang bercakap tentang azab Allah amatlah pedih, hanya secebis sahaja rasa takut itu muncul dan saya sendiri tidak tahu mengapa dan dimana silapnya. Sekiranya kamu juga begitu, sepatutnya kita berhati-hati kerana iman kita begitu lemah sehingga meremehkan azab Allah. Dan saya yakin sekiranya tidak ada perasaan takut kepada Allah, percayalah tidak mustahil kita akan melakukan dosa-dosa kecil yang seterusnya membawa kita kepada dosa-dosa besar tanpa rasa bersalah sebaliknya berbangga dengan dosa yang dilakukan. Tatkala itu, ketahuilah wahai kaum muslimin dan muslimat bahawa kamu sangat jauh dari Allah dan Allah telah membiarkan kamu dan tidak mempedulikan kamu.

Namun, sekiranya kamu sedar, kemudian bertaubat, maka ketahuilah Allah itu Maha Pengampun dan bergembiralah kamu kerana dipilih Allah untuk menyertai perjuangan Islam dan berjalanlah diatas muka bumi ini dengan kalimah Lailahaillahallah. Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada Abu Dzar :
" Tidakkah engaku tahu bahawa Islam itu menghancurkan semua kesalahan masa lalu, dan taubat itu menghapus segala dosa yang dilakukan sebelumnya"

Nilai iman itu menetap di dalam hati dan dibenarkan oleh perbuatan. Dalam erti kata lain, janganlah kita salah faham bahawa kesulitan dalam beribadah itu merupakan jalan untuk meraih hidayah. Firman Allah swt :
"Untuk meguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya" (Hud : 7 )
Betapa cantik dan telitinya ayat Al-Quran. Allah tidak berfirman "yang lebih banyak amalannya" kerana Allah lebih mengetahui kemampuan setiap hambanya. Menurut ulama tafsir perkataan baik dalam ayat di atas bermakna kualiti.

Dalam hal ini, Fudail bin Iyadh pernah berkata amal yang paling baik adalah amal yang paling benar dan murni. Dan amalan yang paling murni adalah amal yang ditujukan untuk meraih reda Allah, dan amalan yang paling benar adalah amalan yang mengikuti sunnah Rasulullah saw.

Dan sesungguhnya, jika kamu berusaha melakukan sesuatu demi meraih keredhaan dan kegembiraan Allah maka Allah akan sentiasa membantu dan mempermudahkan urusan mu akan tetapi, sekiranya kamu berusaha untuk menggembirakan hati manusia maka Allah akan menyerahkanmu sepenuhnya kepada manusia. Dan ketahuilah manusia itu banyak kekurangannya dan boleh jadi tidak secebis pun perasaan berterima kasih kepada mu sebalinya mungkin dia akan mengutukmu dan mengumpat tentang perbuatan yang kamu lakukan untuk nya.

Bersangka baiklah kepada Allah kerana kamu akan merasa bersyukur kepada Allah dan akan semakin mendekati Allah. Sebagai contoh, kamu keluar dengan tergesa-gesa untuk ke sesuatu tempat dan kemungkinan besar kamu akan lewat. Tetapi, sedang kamu berjalan setelah beberapa minit, kamu teringat sesuatu dan barang tersebut tertinggal di rumah. Kamu terpaksa patah balik untuk mengambilnya. Janganlah kamu merungut, marah dalam perjalanan kamu berpatah balik, kerana mungkin Allah telah meyelamatkan kamu dari bahaya yang tidak kamu ketahui. Sekiranya kamu berjaya berfikir sebegitu, kamu akan bersyukur kepada Allah kerana menyelamatkan kamu dari bahaya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Allah tahu apa yang terbaik untuk kamu. wallahualam

Sama-samalah kita memperbaiki diri kerana semua manusia itu tidak sempurna dan tidak akan sempurna kerana itulah kita perlu sedar bahawa kita sangat lemah dan hanya doa dan bermunajat kepadaNya sahajalah jalan keluar. Insyaallah. Janji Allah itu pasti.