Ahad, 29 Mei 2011

Istilah merendah diri

Merendah diri atau 'humble' amat dituntut dalam Islam. Tapi adakah Islam menghalang penganutnya daripada kemewahan duniawi? Jawapannya tidak. Kembali kepada sejarah Islam, Saidina Abu Bakar, Saidina Usthman antara sahabat Rasulullah saw yang memiliki harta yang banyak dan digelar hartawan. Islam tidak pernah melarang penganutnya untuk mencari harta dunia kerana itu adalah fitrah manusia yang sukakan hiburan, kecantikan, keselesaan. Akan tetapi, segala urusan duniawi ini akan lebih cantik dan membawa kepada ketenangan hati apabila Islam diamalkan secara keseluruhannya. Apabila ramai orang Islam yang memiliki kemewahan dunia, maka ramailah yang akan membayar zakat sehingga kepada satu tahap tidak ada sesiapa pun yang layak menerima zakat. Jadi, adakah Islam melarang umatnya dari membeli kereta besar, rumah besar dan memiliki kedudukan pangkat yang tinggi? Sesekali tidak. Islam melatih umatya, semakin mewah kehidupannya, semakin kuat pegangan agamanya, semakin dia bersyukur kepada Allah atas pemberian nikmatNya yang melimpah ruah. Maka lahirlah hartawan yang dermawan dan merendah diri.

Kekayaan adalah 'first impression' dalam berdakwah. Mengapa ramai yang murtad dan menganut kristian? Maka ada jawapan yang mengatakan, Islam adalah agama yang mundur, umatnya disuruh hidup susah. Tidak seperti kristian, begitu ramai penganutnya yang hidup mewah, selesa dan popular. Oleh itu, apa yang perlu kita lakukan untuk mengubah pemikiran tersebut? Kita tidak boleh menyalahkan mereka yang berfikiran sebegitu kerana sudah menjadi lumrah manusia melihat kepada fizikal terlebih dahulu. Sebagai contoh, jika kita ingin membeli sebuah kereta, pasti kita akan melihat kepada reka bentuk kereta itu terlebih dahulu sebelum melihat kriteria-kriteria yang lain. Jadi, adakah mereka salah? Tentu sekali tidak. Kita perlu menjadi warga proaktif dalam menjalankan urusan dakwah.

Apabila kita diberi peluang dari Allah untuk berjaya dalam sesuatu bidang, kita perlu melakukannya dengan bersungguh-sungguh atas niat kerana Allah ta'ala. Semoga dengan niat itu, maka perjuangan yang kita lakukan akan sentiasa dirahmati Allah. Akan tetapi, kita perlu sentiasa berwaspada dengan hasutan syaitan yang tidak pernah lalai dalam menghasut kita daripada lupa dan lalai dalam mengingati Allah. Sesungguhnya iman itu boleh berkurang dan bertambah kerana itu kita perlu memastikan hari ini lebih baik dari semalam.

Setelah kita berjaya mencapai ke satu tahap yang membanggakan; pertama; kita telah berjaya menjalankan tanggungjawab fardhu kifayah, kedua, bermula fasa tanggungjawab dakwah seterusnya. Semakin tingginya gaji,pangkat, kedudukan, maka semakin besar tanggungjawab kita kepada perkembangan dakwah. Ini kerana, mereka yang berada disekeliling kita adalah mereka yang memiliki pemikiran kelas pertama dan akan lebih menduga keimanan kita. Maka disitulah perlunya kekuatan iman dan pergantungan kepada Allah yang lebih utuh. Persoalan yang berbentuk logik akal akan semakin banyak diajukan. Maka, di situlah kita ambil kesempatan untuk mendalami ilmu tauhid dan mengembangkan sayap ilmu yang kita miliki. Antara persoalan yang agak popular yang sering dipersoalkan, adakah tuhan itu benar-benar wujud? Apa bukti bahawa tuhan itu wujud? Maka carilah jawapan yang mudah untuk difahami mereka sebelum memperkenalkan kepada mereka ayat-ayat Al-Quran. Sebagai contoh, apabila kamu dicubit, dipukul, diketuk, adakah kamu merasa sakit? Tapi, apa bukti kamu sakit? Boleh kamu tunjukkan kepada saya kesakitan itu?

Islam itu adalah agama fitrah. Allah adalah tuhan kita. Setiap persoalan yang diajukan manusia pasti ada jawapanya. Sebagai umat Islam, kita sentiasa redha akan kewajipan dan larangan yang ditetapkan Allah tetapi, mereka yang belum menganut Islam masih tercari-cari sinar keimanan, hati mereka sentiasa tertanya-tanya; mencari jawapan siapakah tuhan yang sebenarnya layak disembah. Jadi, apakah tugas kita sebagai seorang Islam? Kita perlu membantu mereka mencari jawapan yang mereka inginkan. Contohnya, mengapa Allah melarang hambaNya dari minum arak? Maka disitulah bergunanya ilmu kepakaran kita. Bagi mereka yang pakar dalam bidang perubatan misalnya, perlulah mengkaji kesan arak dalam usus manusia; tindak balas yang berlaku di dalam nya. Dan setelah kita berjaya memberikan jawapan yang logik kepada mereka, maka langkah seterusnya kita perdengarkan kepada mereka ayat-ayat Al-Quran. Maka sampailah kepada mereka ayat-ayat Al-Quran. Dan apabila ditanya di padang mahsyar nnti, tidak lah kita dipersalahkan kerana tidak mengajarkan ilmu itu kepada mereka. Walaubagaimanapun, kita perlu sentiasa ingat bahawa hidayah itu milik Allah, kita tidak boleh memaksa mereka untuk menganut Islam tapi kita hanya mampu berusaha bersungguh-sungguh untuk memperkenalkan Islam kepada mereka. Apabila kita berjaya memperkenalkan Islam kepada mereka yang memiliki pemikiran kelas pertama, sudah pasti, golongan dibawahnya akan tertarik kepada Islam dan akhirnya hampir keseluruhannya menganut Islam.

Apabila ketua, pengarah sesuatu organisasi, syarikat itu memiliki kuasa, maka dia berkuasa untuk mengubah sistem organisasi itu kepada sistem yang bertepatan dengan syariat Islam. Cuba bayangkan, sebuah syarikat gergasi yang memiliki surau di setiap tingkat bangunannya; dan mereka mengerjakan solat fardhu secara berjamaah, aktiviti berbentuk kerohanian juga bebas dilakukan, maka akan lahirlah pekerja-pekerja produktif yang kuat mentalnya disebabkan pergantungan kepada Allah yang utuh. Ini kerana, Islam sentiasa mengajar hambaNya agar sentiasa bersifat positif. Setiap ujian yang ditempuhi akan sentiasa disertai usaha dan tawakal kepada Allah. Maka timbul persoalan, mengapa manusia memiliki sifat risau, ragu-ragu, gelisah, sedih apabila ujian menimpa? Maka jawapannya, kerana kurangnya keyakinan kita kepada rencana Allah. Apa yang berlaku akan datang, adalah perkara ghaib, yang kita sendiri tidak pasti jawapannya; dimana kita hanya mengandaikan apa yang bakal berlaku tapi kita lupa sejenak bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang dan Allah sama sekali tidak mensia-siakan hamba yang sentiasa mengharap pertolonganNya. Usaha yang disertai penyerahan kepada Allah(yakni tawakal) akan melahirkan umat Islam yang bersangka baik kepada Allah dan sentiasa redha dengan apa jua kemungkinan yang berlaku. Maka dengan itu, lahirlah insan yang sentiasa berfikiran positif dan sentiasa maju ke hadapan. Apabila sesebuah organisasi berjaya melahirkan insan yang positif,produktif dan sentiasa berfikiran positif, maka organisasi itu akan semakin berkembang dan maju keseluruh dunia dibawah lembayung rahmat Allah. Dan apabila kamu bersyukur, maka Allah akan melipat gandakan lagi nikmatNya. Maka sentiasa lah bersyukur atas nikmat Allah dan bersangka baiklah akan segala rencanaNya untuk kita kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita.

Di era perkembangan IT dan teknologi, kita perlukan kekayaan materialistik untuk memperkenalkan Islam kepada mereka yang masih lalai. Berlakunya masalah sosial, adalah kerana pada pandangan mereka, itulah kemajuan. Mengapa? Dunia sekarang memandang negara barat sebagai negara yang maju, oleh itu, apa yang dipakai, diamalkan adalah salah satu bentuk kemajuan. Misalnya, contoh yang terdekat, barat memperkenalkan kecantikan itu dengan pelbagai produk kecantikan, pemakaian yang mendedahkan aurat dan sebagainya sebagai salah satu bentuk kemajuan dalam bidang fesyen. Sebagai gologan yang masih menyedari apa itu dosa dan aurat, perlulah kehadapan, bersifat proaktif dan memperkenalkan rahsia awet muda dengan memperkenalkan produk yang menggunakan madu kerana madu adalah salah satu sunnah Rasulullah.

Oleh itu, kita perlulah menjadi warga proaktif dan pakar dalam bidang masing-masing agar menjadi contoh kepada yang lain. Allah itu cantik dan sangat sukakan kecantikan. Allah tidak pernah sesekali melarang hambaNya untuk mencari kekayaan di dunia kerana itu juga adalah sebahagian daripada nikmat yang dikurniakanNya. Pernah suatu ketika di zaman rasulullah, apabila mereka yang miskin dan tidak berkemampuan ini mengadu kerana mereka tidak mampu untuk memberi sedekah sedangkan mereka yang kaya, dengan mudahnya memgagih-agihkan harta mereka. Mereka ingin berlumba dengan golongan yang kaya bagi mendapatkan dan merebut keredhaan Allah. Maka rasulullah pun bersabda, kalau begitu berpuasalah kerana amalan itu mampu dilakukan oleh kamu. Akan tetapi, tidak berapa lama kemudian, golongan kaya ini mengetahui tentang amalan tersebut dan mereka berpuasa serta bersedekah. Maka golongan yang tidak berkemampuan ini mengadukan hal tersebut kepada Rasulullah. Rasulullah lalu bersabda, maka itu adalah kelebihan yang Allah berikan kepada golongan yang kaya. Mereka mampu bersedekah dan mampu untuk berpuasa. Wallahu'alam.

Tuntunan fardhu kifayah

Pertama, ayuh kita menghayati istilah fardhu kifayah. Fardhu kifayah adalah kewajipan yang apabila dilaksanakan oleh sebahagian pihak,individu,maka kewajipan itu gugur bagi yang lainnya. Fardhu kifayah ini merangkumi keperluan duaniawi dan akhirat. Jika ada golongan muslim atau muslimat yang berjihad memperjuangkan agama,pakar dalam bidang duniawi seperti kejuruteraan, kedoktoran dan sebagainya, maka yang lainnya terlepaslah mereka dalam kewajipan fardhu kifayah. Tetapi, kita sentiasa lupa dan leka akan syarat yang diletakkan dalam fardhu kifayah; apabila tidak seorang pun kaum muslimin dan muslimat yang melaksanakan fardhu kifayah, maka semua orang akan berdosa. Maka terdetik lah dilubuk hati kita, tanda disedari, ada kemungkinan kita telah menanggung dosa disebabkan kelalaian kita melaksanakan fardhu kifayah.

Insan proaktif, itulah sebenarnya dasar fardhu kifayah. Apabila semua orang Islam berlumba melaksanakan fardhu kifayah, maka akan semakin majulah negara Islam. Tetapi, apabila kaum muslimin dan muslimat itu sentiasa melepaskan kewajipan fardhu kifayah itu kepada orang lain dan keadaaan itu sentiasa berterusan sehingga tidak ada seorang pun yang melaksanakannya, maka itulah pemikiran mundur atau dipanggil sebagai pasif. Jadi, dimanakah kita?

Setiap insan yang dilahirkan dibumi Allah ini, diberi 1001 kelebihan dan dilimpahkan dengan pelbagai nikmat. Itulah bukti kekuasaaan Allah. Walaupun bayi yang dilahirkan kembar seiras sekalipun, kepakaran, sifat, perangai adalah berbeza. Apa yang perlu untuk kita, ialah menyelami diri kita, yang mana satukah kelebihan dan kepakaran yang kita yakin boleh membawa kepada pelaksanaan kewajipan fardhu kifayah.

Bagi mereka yang cemerlang dalam bidang pendidikan khususnya ,lebih besar tanggugjawab mereka kepada Islam, negara dan masyarakat. Beringatlah bahawa apabila kita masuk ke alam mahsyar,seluruh manusia beratur untuk disoal. Antara soalan yang diajukan, kemanakah ilmumu yang kamu gunakan. Maka terlintaslah kita kepada sabda Rasulullah saw : Sampaikanlah dariku walaupun dengan hanya satu ayat. (Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari, dan Tarmizi). Maka, sangatlah jelas di sini, apabila saya menyatakan, bahawa produk Islam ialah insan proaktif. Akan tetapi, ada segelintir daripada kita, apabila menyedari kewajipan ini, mereka lebih rela membiarkan diri dalam kejahilan; tidak ingin ambil tahu, pasif, tidak mahu bertanggungjawab.

Jadi, apa yang kita boleh lakukan untuk membantu mereka yang memiliki pemikiran seperti ini? Kembali kepada hadis rasulullah di atas, sampaikanlah walaupun dengan hanya satu ayat. Hadis ini memiliki maksud yang sangat mendalam. Cuba kita renungkan. Bagi mereka yang sudah memiliki sifat proaktif, sudah pasti mereka bersedia untuk menyampaikan ilmu yang dimiliki. Maka ilmu tersebut akan disampaikan dan akhirnya tersebar jua. Jadi, mereka yang pasif tidak ada sebab untuk mengecualikan diri mereka dengan alasan kejahilan. Perlu kita ingat, selagi mana kita dibumi Allah, kita tidak lari dari gelaran hamba Allah; tidak lari dari kewajipan sebagai seorang muslim dan tuntutan-tuntutanNya. Kita telah terlalu banyak berhutang dengan Allah, terlalu banyak nikmat yang kita nikmati, lahirkanlah rasa kesyukuran dengan melakukan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Ilmu adalah asas kemajuan pembangunan umat Islam. Menyusuri sejarah tamadun Islam, kerana perkembangan ilmu yang menakjubkan, Islam masyhur diseluruh dunia, disanjung dan dihormati sehingga negara barat meniru gaya pemakaian jubah yang kini menjadi amalan atau etika pemakaian di hari graduasi. Ini kerana, masyarakat ketika itu sangat mementingkan ilmu serta menjalankan kewajipan fardhu kifayah seolah-olah kewajipan itu adalah kewajpan fardhu ain.

Islam sentiasa menitikberatkan pembangunan individu. Seorang individu yang proaktif mampu menarik lebih ramai individu proaktif yang lain. Mengapa? Sebagai contoh, mereka yang cemerlang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Jadi, apabila ada di antara sahabat handai, sedara mara yang berjaya melanjutkan pelajaran hingga pasti ada yang terpanggil untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk merebut peluang tersebut. Dan mereka yang telah mendapat pengalaman tersebut, pastinya akan berkongsi pengalaman sehingga menyentuh hati mereka yang lain untuk lebih berjaya. Inilah persaingan yang sihat dan indahnya perkongsian ilmu. Keindahan itu akan lebih terserlah, apabila individu yang melanjutkan pelajaran ke luar negara membawa pulang segulung ijazah dan melaksanakan tanggungjawab fardhu kifayah itu dengan menjadi pakar dalam bidang yang dipelajarinya. Mungkin dengan menjadi pakar dalam bidang tersebut, kita adalah orang pertama yang menjalankan tanggungjawab tersebut maka beruntunglah kita. Tetapi, apabila kita memilih untuk tidak meneruskannya dengan menganggap ada orang lain yang lebih layak untuk melaksanakan kewajipan itu, maka di situlah kesilapan kita. Gunakanalah kecerdasan akal, ilmu yang Allah kurniakan itu untuk dikongsi, marilah sama-sama kita menjadi manusia proaktif, insyaallah. Ini juga sebahagian daripada jihad yang dituntut dalam Islam. Wallahu'alam.

Ahad, 9 Januari 2011

Hubungan sesama manusia

Assalammualaikum dan salam sejahtera,

Setelah mendengar ceramah dari seorang ustaz, tiba-tiba saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman dan ilmu yang telah saya pelajari. Salah satu kata-kata yang menyebabkan saya tersentak adalah,"ramai manusia cuba mencari jalan mencapai keredhaan Allah hingga terlupa menjaga hubungan sesama manusia, sedangkan Islam sentiasa mementingkan ukhwah sesama muslim"...

Sewaktu di sekolah menengah, saya antara mereka yang sering berdakwah, ke hadapan dan menegur rakan-rakan seperjuangan yang bagi saya ketika itu salah. Tanpa disedari, saya melukakan hati rakan-rakan sendiri disebabkan cara yang salah. Dan ketika itu, saya menganggap diri saya betul dengan pemikiran bahawa mereka yang berada di jalan dakwah akan sentiasa dibenci.Tapi, saya lupa untuk menyelami perasaan mereka, saya lupa bahawa Allah memegang hati setiap manusia dan sesungguhnya kita bukan dikalangan mereka yang beriman selagimana kita belum diuji. Dan pada ketika itu juga, saya berpendapat, saya lebih tahu hukum hakam fiqh hingga saya lupa untuk mengenal erti hati yang ikhlas. Pada satu tahap, saya merasakan diri saya lebih tinggi ilmu agama daripada mereka yang lain. Perasaan ini melalaikan saya daripada beribadat secara ikhlas kepada Allah sehinggalah saya diuji dengan ujian yang tidak saya sedari memberi tanda hitam dalam hati. Dan amalan-amalan yang saya lakukan sebelumnya, tidak dapat membendung nafsu seorang remaja. Hanya ujian yang mudah; tidak meragut nyawa, tidak membahayakan diri, namun, saya tertewas dan hingga sekarang penyesalan yang menyebabkan saya tidak mampu meneruskan kehidupan seperti masa lalu.

Ini adalah penyakit yang paling susah untuk kita berhadapan. Penyakit hati ataupun kufur kecil.Apabila perasaan ria',ta'bur,ujub beraja dihati, kita mula merasakan bahawa kita lebih baik daripada yang lain. Kita ego untuk mendengar pendapat orang lain ataupun yang bukan dalam kalangan kumpulan kita sendiri. Kita gagal untuk berkomunikasi dengan komuniti dengan baik. Kita lebih bahagia untuk bersama dengan kumpulan kita sendiri sedangkan ada antara sahabat kita yang memerlukan sentuhan dakwah. Kontranya, Islam mengajar kita agar tidak memandang rendah pada orang lain sekalipun dia kafir, kanak-kanak, mahupun pada pandangan orang lain mereka golongan yang jahil. Kafir, apabila dia masuk Islam, maka terhapuslah dosa-dosa nya ibarat bayi yang baru lahir...kanak-kanak, apabila dia meninggal dalam keadaan belum akhil baligh, maka dia akan dimasukkan ke dalam syurga dan bagi kejahilan, apabila dia mengetahui maka dia akan berhenti melakukannya dan perbuatan sebelumnya(yang disebabkan kejahilannya) diampunkan dosanya.

Benar, kita perlu bersahabat dengan mereka yang rapat dengan Allah, tetapi tidak bermakna kita memandang mereka yang melakukan dosa atau maksiat itu dengan pandangan menjijikkan sehingga mereka merasa rendah diri. Bukankah kita patut membantu mereka, membelai mereka dengan sentuhan dakwah? Dan tidak semestinya kita mengetahui lebih daripada mereka. Cuba kita berada di tempat mereka, kesalahan yang mereka lakukan itu, hanya mereka yang rasa, mereka yang menanggung, iman mereka sedang diuji. Dan siapa kita untuk menegur mereka dengan kata-kata sinis, menghina dan mengherdik mereka sedangkan kita tidak diberi ujian seperti mereka? Apabila datang kepada masalah hati, hanya Allah tahu keikhlasan kita terhadapNya ditahap mana. Sebagai seorang hamba, janganlah kita menganggap mereka tidak mengetahui,tidak berilmu seperti kita...Apa kata kita mendengar luahan hatinya, bagaimana pemikiran mereka terhadap sesuatu dan barulah kita berikan dia suntikan dakwah sedikit demi sedikit.

Saya pernah bertanya kepada sahabat saya, kenapa kau tak nak join program halaqah dan sebagainya? jawapannya, "bukan aku tak nak join, tapi, bila ak join, diorang akan bagi pamplet yang point out kesalahan ak yang sume org tau, benda tu memang ak yang buat. And, ak tak suka bila diorg buat ak cam ak jahil sangat.Satu ag,ak nak datang bila ak rasa seronok and xde paksaan tuk ak join everytime ad program. Sebab itu ak takut nak datang n ak xnk org paksa-paksa ak"

Hmm kontroversi kan? hee...tp itu adalah kenapa mereka tidak mahu terlibat. Mungkin ada orang akan mengatakan, memang hati dia tak nak sebab itu banyak alasan yang diberi. Dan jawapan yang saya akan berikan, saya pernah berada di kedua-dua situasi dan saya paham kenapa. Cuba kita perhatikan method dakwah yang digunakan...adakah itu cara efektif tuk mengajak seseorang ke arah kebaikan? Apa-apa pun yang kita lakukan dalam kehidupan, kita perlu cuba dan cuba untuk mencari kesalahan sendiri terlebih dahulu sebelum menyalahkan kepada orang lain. Memang sangat susah untuk menyalahkan diri sendiri kerana kita memilih untuk mempercayai apa yang kita nak percaya.

Islam itu agama yang indah, tapi, kenapa kita perlu cemarkannya disebabkan kekhilafan dalam cara berdakwah yang kita conduct? Satu lagi masalah hati yang disebut dalam ceramah itu, apabila disebutkan dosa-dosa tertentu, terdetik di hati mereka, owhh...ak xwat dosa ini...so ak diperingkat mereka yang soleh...

Hmm...kembali kepada sejarah para sahabat, apabila diceritakan tentang dosa-dosa yang membawa kemurkaan Allah, mereka menangis dengan penuh keinsafan. Mengapa? Sedangkan mereka adalah antara golongan yang Allah janjikan syurga...kerana mereka tahu, mereka belum diuji dengan ujian itu, dan belum tentu mereka terselamat dari dosa tersebut. Wallahualam.

Keimanan seseorang itu diperlihatkan melalui akhlaknya. Sekuat mana pun kita beribadat di malam hari, tetapi masih belum mampu mengawal nafsu amarah, maka kita belum lagi di tahap keimanan sebenar berpegang kepada firman Allah; solat itu mencegah daripada perbuatan mungkar. Walaupun kita bersedekah setiap hari, tetapi kita tidak prihatin kepada jiran yang kelaparan atau mengalami masalah kewangan...maka perjalanan kita masih jauh...Dan apabila tetamu bertandang ke rumah, kita memilih untuk sambung berzikir selama 30min sedangkan Islam menyuruh kita melayani tetamu yang datang terlebih dahulu...maka ketika itu, ketahuilah kita masih jahil.

Sekadar mahu berkongsi. Sekiranya ada kesilapan atau salah tutur kata, harap dimaafkan. Semoga kita bukan di kalangan mereka yang jahil dan mengamalkan Islam secara kesuluruhannya...insyaallah