Ahad, 29 Mei 2011

Tuntunan fardhu kifayah

Pertama, ayuh kita menghayati istilah fardhu kifayah. Fardhu kifayah adalah kewajipan yang apabila dilaksanakan oleh sebahagian pihak,individu,maka kewajipan itu gugur bagi yang lainnya. Fardhu kifayah ini merangkumi keperluan duaniawi dan akhirat. Jika ada golongan muslim atau muslimat yang berjihad memperjuangkan agama,pakar dalam bidang duniawi seperti kejuruteraan, kedoktoran dan sebagainya, maka yang lainnya terlepaslah mereka dalam kewajipan fardhu kifayah. Tetapi, kita sentiasa lupa dan leka akan syarat yang diletakkan dalam fardhu kifayah; apabila tidak seorang pun kaum muslimin dan muslimat yang melaksanakan fardhu kifayah, maka semua orang akan berdosa. Maka terdetik lah dilubuk hati kita, tanda disedari, ada kemungkinan kita telah menanggung dosa disebabkan kelalaian kita melaksanakan fardhu kifayah.

Insan proaktif, itulah sebenarnya dasar fardhu kifayah. Apabila semua orang Islam berlumba melaksanakan fardhu kifayah, maka akan semakin majulah negara Islam. Tetapi, apabila kaum muslimin dan muslimat itu sentiasa melepaskan kewajipan fardhu kifayah itu kepada orang lain dan keadaaan itu sentiasa berterusan sehingga tidak ada seorang pun yang melaksanakannya, maka itulah pemikiran mundur atau dipanggil sebagai pasif. Jadi, dimanakah kita?

Setiap insan yang dilahirkan dibumi Allah ini, diberi 1001 kelebihan dan dilimpahkan dengan pelbagai nikmat. Itulah bukti kekuasaaan Allah. Walaupun bayi yang dilahirkan kembar seiras sekalipun, kepakaran, sifat, perangai adalah berbeza. Apa yang perlu untuk kita, ialah menyelami diri kita, yang mana satukah kelebihan dan kepakaran yang kita yakin boleh membawa kepada pelaksanaan kewajipan fardhu kifayah.

Bagi mereka yang cemerlang dalam bidang pendidikan khususnya ,lebih besar tanggugjawab mereka kepada Islam, negara dan masyarakat. Beringatlah bahawa apabila kita masuk ke alam mahsyar,seluruh manusia beratur untuk disoal. Antara soalan yang diajukan, kemanakah ilmumu yang kamu gunakan. Maka terlintaslah kita kepada sabda Rasulullah saw : Sampaikanlah dariku walaupun dengan hanya satu ayat. (Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari, dan Tarmizi). Maka, sangatlah jelas di sini, apabila saya menyatakan, bahawa produk Islam ialah insan proaktif. Akan tetapi, ada segelintir daripada kita, apabila menyedari kewajipan ini, mereka lebih rela membiarkan diri dalam kejahilan; tidak ingin ambil tahu, pasif, tidak mahu bertanggungjawab.

Jadi, apa yang kita boleh lakukan untuk membantu mereka yang memiliki pemikiran seperti ini? Kembali kepada hadis rasulullah di atas, sampaikanlah walaupun dengan hanya satu ayat. Hadis ini memiliki maksud yang sangat mendalam. Cuba kita renungkan. Bagi mereka yang sudah memiliki sifat proaktif, sudah pasti mereka bersedia untuk menyampaikan ilmu yang dimiliki. Maka ilmu tersebut akan disampaikan dan akhirnya tersebar jua. Jadi, mereka yang pasif tidak ada sebab untuk mengecualikan diri mereka dengan alasan kejahilan. Perlu kita ingat, selagi mana kita dibumi Allah, kita tidak lari dari gelaran hamba Allah; tidak lari dari kewajipan sebagai seorang muslim dan tuntutan-tuntutanNya. Kita telah terlalu banyak berhutang dengan Allah, terlalu banyak nikmat yang kita nikmati, lahirkanlah rasa kesyukuran dengan melakukan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Ilmu adalah asas kemajuan pembangunan umat Islam. Menyusuri sejarah tamadun Islam, kerana perkembangan ilmu yang menakjubkan, Islam masyhur diseluruh dunia, disanjung dan dihormati sehingga negara barat meniru gaya pemakaian jubah yang kini menjadi amalan atau etika pemakaian di hari graduasi. Ini kerana, masyarakat ketika itu sangat mementingkan ilmu serta menjalankan kewajipan fardhu kifayah seolah-olah kewajipan itu adalah kewajpan fardhu ain.

Islam sentiasa menitikberatkan pembangunan individu. Seorang individu yang proaktif mampu menarik lebih ramai individu proaktif yang lain. Mengapa? Sebagai contoh, mereka yang cemerlang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Jadi, apabila ada di antara sahabat handai, sedara mara yang berjaya melanjutkan pelajaran hingga pasti ada yang terpanggil untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk merebut peluang tersebut. Dan mereka yang telah mendapat pengalaman tersebut, pastinya akan berkongsi pengalaman sehingga menyentuh hati mereka yang lain untuk lebih berjaya. Inilah persaingan yang sihat dan indahnya perkongsian ilmu. Keindahan itu akan lebih terserlah, apabila individu yang melanjutkan pelajaran ke luar negara membawa pulang segulung ijazah dan melaksanakan tanggungjawab fardhu kifayah itu dengan menjadi pakar dalam bidang yang dipelajarinya. Mungkin dengan menjadi pakar dalam bidang tersebut, kita adalah orang pertama yang menjalankan tanggungjawab tersebut maka beruntunglah kita. Tetapi, apabila kita memilih untuk tidak meneruskannya dengan menganggap ada orang lain yang lebih layak untuk melaksanakan kewajipan itu, maka di situlah kesilapan kita. Gunakanalah kecerdasan akal, ilmu yang Allah kurniakan itu untuk dikongsi, marilah sama-sama kita menjadi manusia proaktif, insyaallah. Ini juga sebahagian daripada jihad yang dituntut dalam Islam. Wallahu'alam.