Ahad, 29 Mei 2011

Istilah merendah diri

Merendah diri atau 'humble' amat dituntut dalam Islam. Tapi adakah Islam menghalang penganutnya daripada kemewahan duniawi? Jawapannya tidak. Kembali kepada sejarah Islam, Saidina Abu Bakar, Saidina Usthman antara sahabat Rasulullah saw yang memiliki harta yang banyak dan digelar hartawan. Islam tidak pernah melarang penganutnya untuk mencari harta dunia kerana itu adalah fitrah manusia yang sukakan hiburan, kecantikan, keselesaan. Akan tetapi, segala urusan duniawi ini akan lebih cantik dan membawa kepada ketenangan hati apabila Islam diamalkan secara keseluruhannya. Apabila ramai orang Islam yang memiliki kemewahan dunia, maka ramailah yang akan membayar zakat sehingga kepada satu tahap tidak ada sesiapa pun yang layak menerima zakat. Jadi, adakah Islam melarang umatnya dari membeli kereta besar, rumah besar dan memiliki kedudukan pangkat yang tinggi? Sesekali tidak. Islam melatih umatya, semakin mewah kehidupannya, semakin kuat pegangan agamanya, semakin dia bersyukur kepada Allah atas pemberian nikmatNya yang melimpah ruah. Maka lahirlah hartawan yang dermawan dan merendah diri.

Kekayaan adalah 'first impression' dalam berdakwah. Mengapa ramai yang murtad dan menganut kristian? Maka ada jawapan yang mengatakan, Islam adalah agama yang mundur, umatnya disuruh hidup susah. Tidak seperti kristian, begitu ramai penganutnya yang hidup mewah, selesa dan popular. Oleh itu, apa yang perlu kita lakukan untuk mengubah pemikiran tersebut? Kita tidak boleh menyalahkan mereka yang berfikiran sebegitu kerana sudah menjadi lumrah manusia melihat kepada fizikal terlebih dahulu. Sebagai contoh, jika kita ingin membeli sebuah kereta, pasti kita akan melihat kepada reka bentuk kereta itu terlebih dahulu sebelum melihat kriteria-kriteria yang lain. Jadi, adakah mereka salah? Tentu sekali tidak. Kita perlu menjadi warga proaktif dalam menjalankan urusan dakwah.

Apabila kita diberi peluang dari Allah untuk berjaya dalam sesuatu bidang, kita perlu melakukannya dengan bersungguh-sungguh atas niat kerana Allah ta'ala. Semoga dengan niat itu, maka perjuangan yang kita lakukan akan sentiasa dirahmati Allah. Akan tetapi, kita perlu sentiasa berwaspada dengan hasutan syaitan yang tidak pernah lalai dalam menghasut kita daripada lupa dan lalai dalam mengingati Allah. Sesungguhnya iman itu boleh berkurang dan bertambah kerana itu kita perlu memastikan hari ini lebih baik dari semalam.

Setelah kita berjaya mencapai ke satu tahap yang membanggakan; pertama; kita telah berjaya menjalankan tanggungjawab fardhu kifayah, kedua, bermula fasa tanggungjawab dakwah seterusnya. Semakin tingginya gaji,pangkat, kedudukan, maka semakin besar tanggungjawab kita kepada perkembangan dakwah. Ini kerana, mereka yang berada disekeliling kita adalah mereka yang memiliki pemikiran kelas pertama dan akan lebih menduga keimanan kita. Maka disitulah perlunya kekuatan iman dan pergantungan kepada Allah yang lebih utuh. Persoalan yang berbentuk logik akal akan semakin banyak diajukan. Maka, di situlah kita ambil kesempatan untuk mendalami ilmu tauhid dan mengembangkan sayap ilmu yang kita miliki. Antara persoalan yang agak popular yang sering dipersoalkan, adakah tuhan itu benar-benar wujud? Apa bukti bahawa tuhan itu wujud? Maka carilah jawapan yang mudah untuk difahami mereka sebelum memperkenalkan kepada mereka ayat-ayat Al-Quran. Sebagai contoh, apabila kamu dicubit, dipukul, diketuk, adakah kamu merasa sakit? Tapi, apa bukti kamu sakit? Boleh kamu tunjukkan kepada saya kesakitan itu?

Islam itu adalah agama fitrah. Allah adalah tuhan kita. Setiap persoalan yang diajukan manusia pasti ada jawapanya. Sebagai umat Islam, kita sentiasa redha akan kewajipan dan larangan yang ditetapkan Allah tetapi, mereka yang belum menganut Islam masih tercari-cari sinar keimanan, hati mereka sentiasa tertanya-tanya; mencari jawapan siapakah tuhan yang sebenarnya layak disembah. Jadi, apakah tugas kita sebagai seorang Islam? Kita perlu membantu mereka mencari jawapan yang mereka inginkan. Contohnya, mengapa Allah melarang hambaNya dari minum arak? Maka disitulah bergunanya ilmu kepakaran kita. Bagi mereka yang pakar dalam bidang perubatan misalnya, perlulah mengkaji kesan arak dalam usus manusia; tindak balas yang berlaku di dalam nya. Dan setelah kita berjaya memberikan jawapan yang logik kepada mereka, maka langkah seterusnya kita perdengarkan kepada mereka ayat-ayat Al-Quran. Maka sampailah kepada mereka ayat-ayat Al-Quran. Dan apabila ditanya di padang mahsyar nnti, tidak lah kita dipersalahkan kerana tidak mengajarkan ilmu itu kepada mereka. Walaubagaimanapun, kita perlu sentiasa ingat bahawa hidayah itu milik Allah, kita tidak boleh memaksa mereka untuk menganut Islam tapi kita hanya mampu berusaha bersungguh-sungguh untuk memperkenalkan Islam kepada mereka. Apabila kita berjaya memperkenalkan Islam kepada mereka yang memiliki pemikiran kelas pertama, sudah pasti, golongan dibawahnya akan tertarik kepada Islam dan akhirnya hampir keseluruhannya menganut Islam.

Apabila ketua, pengarah sesuatu organisasi, syarikat itu memiliki kuasa, maka dia berkuasa untuk mengubah sistem organisasi itu kepada sistem yang bertepatan dengan syariat Islam. Cuba bayangkan, sebuah syarikat gergasi yang memiliki surau di setiap tingkat bangunannya; dan mereka mengerjakan solat fardhu secara berjamaah, aktiviti berbentuk kerohanian juga bebas dilakukan, maka akan lahirlah pekerja-pekerja produktif yang kuat mentalnya disebabkan pergantungan kepada Allah yang utuh. Ini kerana, Islam sentiasa mengajar hambaNya agar sentiasa bersifat positif. Setiap ujian yang ditempuhi akan sentiasa disertai usaha dan tawakal kepada Allah. Maka timbul persoalan, mengapa manusia memiliki sifat risau, ragu-ragu, gelisah, sedih apabila ujian menimpa? Maka jawapannya, kerana kurangnya keyakinan kita kepada rencana Allah. Apa yang berlaku akan datang, adalah perkara ghaib, yang kita sendiri tidak pasti jawapannya; dimana kita hanya mengandaikan apa yang bakal berlaku tapi kita lupa sejenak bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang dan Allah sama sekali tidak mensia-siakan hamba yang sentiasa mengharap pertolonganNya. Usaha yang disertai penyerahan kepada Allah(yakni tawakal) akan melahirkan umat Islam yang bersangka baik kepada Allah dan sentiasa redha dengan apa jua kemungkinan yang berlaku. Maka dengan itu, lahirlah insan yang sentiasa berfikiran positif dan sentiasa maju ke hadapan. Apabila sesebuah organisasi berjaya melahirkan insan yang positif,produktif dan sentiasa berfikiran positif, maka organisasi itu akan semakin berkembang dan maju keseluruh dunia dibawah lembayung rahmat Allah. Dan apabila kamu bersyukur, maka Allah akan melipat gandakan lagi nikmatNya. Maka sentiasa lah bersyukur atas nikmat Allah dan bersangka baiklah akan segala rencanaNya untuk kita kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita.

Di era perkembangan IT dan teknologi, kita perlukan kekayaan materialistik untuk memperkenalkan Islam kepada mereka yang masih lalai. Berlakunya masalah sosial, adalah kerana pada pandangan mereka, itulah kemajuan. Mengapa? Dunia sekarang memandang negara barat sebagai negara yang maju, oleh itu, apa yang dipakai, diamalkan adalah salah satu bentuk kemajuan. Misalnya, contoh yang terdekat, barat memperkenalkan kecantikan itu dengan pelbagai produk kecantikan, pemakaian yang mendedahkan aurat dan sebagainya sebagai salah satu bentuk kemajuan dalam bidang fesyen. Sebagai gologan yang masih menyedari apa itu dosa dan aurat, perlulah kehadapan, bersifat proaktif dan memperkenalkan rahsia awet muda dengan memperkenalkan produk yang menggunakan madu kerana madu adalah salah satu sunnah Rasulullah.

Oleh itu, kita perlulah menjadi warga proaktif dan pakar dalam bidang masing-masing agar menjadi contoh kepada yang lain. Allah itu cantik dan sangat sukakan kecantikan. Allah tidak pernah sesekali melarang hambaNya untuk mencari kekayaan di dunia kerana itu juga adalah sebahagian daripada nikmat yang dikurniakanNya. Pernah suatu ketika di zaman rasulullah, apabila mereka yang miskin dan tidak berkemampuan ini mengadu kerana mereka tidak mampu untuk memberi sedekah sedangkan mereka yang kaya, dengan mudahnya memgagih-agihkan harta mereka. Mereka ingin berlumba dengan golongan yang kaya bagi mendapatkan dan merebut keredhaan Allah. Maka rasulullah pun bersabda, kalau begitu berpuasalah kerana amalan itu mampu dilakukan oleh kamu. Akan tetapi, tidak berapa lama kemudian, golongan kaya ini mengetahui tentang amalan tersebut dan mereka berpuasa serta bersedekah. Maka golongan yang tidak berkemampuan ini mengadukan hal tersebut kepada Rasulullah. Rasulullah lalu bersabda, maka itu adalah kelebihan yang Allah berikan kepada golongan yang kaya. Mereka mampu bersedekah dan mampu untuk berpuasa. Wallahu'alam.